Wednesday 29 June 2011

Laporan Aktiviti Kitar Semula

Pada 30 April 2011 yang lalu, Kelab Alam Sekitar IPG Kampus Batu Lintang telah mengadakan satu aktiviti kitar semula dengan kerjasama Biro Kediaman Pelajar JPP Sesi 2011/2012. Aktiviti ini dijalankan serentak dengan aktiviti gotong-royong bulanan yang diadakan pada waktu yang sama.

Sebelum gotong-royong dimulakan, sebuah taklimat kolej kediaman telah diadakan di perkarangan Masjid al-Muallimin. Setelah taklimat ringkas diberikan oleh Ketua Warden, taklimat ringkas berkenaan aktiviti Kelab Alam Sekitar yang baru sahaja ditubuhkan telah disampaikan oleh saudara Fong Jia Jinn selaku ahli kelab dan Ketua Biro Kediaman Pelajar. Aktiviti “Recycle, Reuse and Reduce” kali ini merupakan kerjasama Kelab Alam Sekitar dan Biro Kediaman Pelajar. Taklimat ini bertujuan untuk mendedahkan dan menghebahkan kepada para penghuni kolej-kolej kediaman akan kewujudan kelab dan perjalanan aktiviti Kitar Semula ini.

Label ‘Kertas’, ‘Kaca & Plastik’ dan ‘Besi & Aluminium’ telah diletakkan di ruang berhadapan dengan sinki di blok KKWA dan di ruang legar blok KKWB dan KKWC. Notis-notis hebahan ditampalkan di papan-papan notis dan tiang untuk menggalakkan guru-guru pelatih meletakkan barang kitar semula mereka di tempat yang disediakan. Ahli kelab yang bertanggungjawab bagi setiap blok telah mengutip hasil barang kitar semula yang dikumpul menggunakan beg plastik hitam dan membawanya ke stor penyimpanan kelab dua hari selepas gotong-royong dijalankan.

Ahli kelab sangat berpuas hati dengan sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh Institusi Warden IPG Kampus Batu Lintang dan guru-guru pelatih yang telah memilih untuk mengitar semula barang mereka dan tidak membuangnya di tong sampah. Aktiviti ini akan terus dijalankan pada masa-masa akan datang.



No comments:

Post a Comment